Bakal miliki dua satelit baru


Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Industri angkasa umumnya boleh dibahagikan kepada segmen huluan (upstream) dan hiliran (downstream).

Segmen huluan merangkumi industri pembuatan, pelancaran dan pengoperasian sistem satelit seperti MEASAT dan juga RazakSat.

Segmen hiliran pula merangkumi antaranya aplikasi kepada sistem satelit komunikasi, panduan arah atau navigasi, remote sensing, ketenteraan dan juga saintifik.

Program-program di bawah industri hiliran angkasa penting bukan sahaja untuk meningkatkan aplikasi teknologi angkasa negara, malah ia adalah segmen industri yang memberikan pulangan secara langsung kepada negara dan orang ramai. Di sinilah manfaat dari sektor angkasa yang diharapkan.

Ia seperti aplikasi telefon yang membolehkan seseorang berhubung dengan saudara mara atau rakan di luar negara pada bila-bila masa, menonton siaran Astro dan menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung.

Aplikasi lain termasuk mengeluarkan wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak di tengah perjalanan, adalah antara aplikasi satelit komunikasi.

Bantuan perjalanan, penjejakan kenderaan atau pun barangan untuk tujuan pengurusan juga keselamatan, pemetaan, penyediaan skala waktu tepat untuk tujuan perbankan dan juga caj perkhidmatan berasaskan masa seperti panggilan telefon dan utiliti, adalah antara aplikasi satelit navigasi.

Sementara aplikasi imej satelit remote sensing untuk tujuan kajian keadaan sekitar, pembangunan kawasan, guna tanah dan pemantauan keadaan, sudah menjadi kelaziman di negara ini.

Sehubungan itu menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari, pembangunan industri hiliran angkasa inilah yang akan menjadi fokus pembangunan sektor angkasa tempatan selepas dasar angkasa negara dan akta diselesaikan dalam setahun dua ini.

Dalam pada itu, pembangunan segmen huluan angkasa juga akan diteruskan.

Beliau berharap, dua lagi satelit akan dapat dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sektor angkasa negara.

Jika sebelum ini negara boleh berbangga dengan pelancaran satelit awal oleh pihak swasta dimulakan oleh Binariang Satellite System Sdn. Bhd. Menerusi MEASAT 1 dan MEASAT 2 pada 1996 dan MEASAT -3 pada 2006. Satelit komunikasi tersebut menandakan penglibatan Malaysia dalam industri angkasa berteknologi tinggi.

Sejak tahun 1990-an, negara telah membangunkan satelit sendiri. Ia bermula dengan TiungSat-1, kemudiannya satelit pencerap Bumi RazakSat yang bertujuan untuk kegunaan pengambilan imej yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut Dr. Mustafa, usaha tersebut akan diteruskan dengan pembangunan satelit RazakSat-2 yang juga berfungsi sebagai satelit mencerap bumi. Fasa awal pembangunannya akan bermula September tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Satelit berkenaan akan dibangunkan sebagai kesinambungan kepada RazakSat yang mana stesen kawalan buminya beroperasi di Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang Banting , Selangor.

Satu lagi perkembangan menarik yang membuktikan Angkasa terus memberi keutamaan kepada industri angkasa ialah pembangunan satelit komunikasi.

Satelit komunikasi tersebut yang telah diluluskan pembangunannya oleh kerajaan kini hanya menunggu dana pembiayaan sebelum usaha membinanya dimulakan yang dijangka pada 2013.

Dalam pada itu, kemudahan sedia ada di Pusat Angkasa Negara , Sungai Lang yang masih dalam proses pembangunan telah bertambah berikutan dengan kejayaan menyiapkan FASA 3A yang melibatkan dua komponen utama iaitu pusat data dan juga makmal pemasangan kemudahan dan pengujian (AIT-assembly, integration and test) .

Fasa tersebut yang telah siap dibina pada 31 Julai lalu akan melalui fasa pemasangan kemudahan dan pengujian peralatannya yang dijangka akan siap pada Mac tahun depan.

Berikutan cadangan pembangunan RazakSAT-2, kemudahan di pusat tersebut juga dijangka ditambah termasuk pemasangan antena daripada sebuah kepada dua buah selepas ini.

Angkasa juga akan membangunkan stesen kawalan bumi kedua bagi RazakSat-2 yang dicadangkan di Sabah bagi tujuan sokongan dan juga bagi tujuan perhubungan dengan satelit itu nanti dengan jarak masa tertangguh kira-kira setengah jam berbanding di Semenanjung.

Rujukan : Utusan.com.my

 

—————————————————————–

amarjamaludin.wordpress.com

Damanhur/ 14 September 2011/ Rabu