Kegagalan, Kejayaan Yang Ditangguhkan


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

———————————————————————————

dont-give-up

dont-give-up

Kegagalan adalah sesuatu yang tidak pernah diharapkan oleh sesiapapun. Meskipun begitu, perkara ini akan tetap berlaku dan dihadapi dalam kehidupan. Sehebat manapun kita berusaha menolaknya, kegagalan seolah-olah mengekori kita dan menunggu masa untuk berlaku. Tidak bermaksud pula bahawa kita harus berpuas hati dengan kegagalan dan membiarkannya berlaku, namun ini tentang bagaimana kita memandang dan menghadapinya.

Kita pernah gagal, anda juga pernah gagal. Kita telah merasai banyak kegagalan besar dalam hidup kita setakat ini. Namun, disebabkan kegagalan tersebutlah kita boleh sampai ke sini.

Kita pernah dengar kata-kata, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan. Menarik, mungkin ada yang setuju atau tidak setuju. Kejayaan yang tidak didahului dengan kegagalan, sukar dirasakan kemanisannya. Bahkan mungkin sukar dihargai sesetengah orang, sehingga mereka terus give-up ketika kejayaan itu lenyap tiba-tiba. Mungkin juga tidak mampu terima bahawa mereka telah GAGAL!

Nanti dulu, jangan kecewa dengan terlampau dahsyat (kecewa itu terdetik tanpa dipinta). Ibarat mendaki gunung, ada ketika kita harus menuruni lembah sebelum sampai kepada bahagian pendakian seterusnya. Begitulah naik-turun bukit demi bukit sebelum sampai ke puncak gunung. Saya suka mengibaratkan itu sebagai fasa perjalanan menuju tujuan dan matlamat. Ada ketika kegagalan itu harus berlaku agar kita lebih bersedia menempuh cabaran kehidupan yang mendatang di hadapan. Begitulah sehingga kita mati, menuju kehidupan abadi.

Kejayaan dan kegagalan itu boleh direlatifkan kepada banyak keadaan. Baik dalam menuntut ilmu, atau perniagaan, atau menghadapi hubungan sesama manusia. Dalam persahabatan misalnya, ada ketika kita bercakar dan bertengkar, namun setelah itu kita lebih memahami satu sama lain. Begitu juga setelah ditipu dalam perniagaan, kita lebih berhati-hati untuk mengambil langkah di masa akan datang. Seterusnya, dalam sekian banyak perkara yang harus kita hadapi dalam hidup ini, kejayaan dan kegagalan akan terus berganding bahu membina kehidupan yang lebih baik.

Kegagalan adalah sebuah anugerah, menemani kita dengan penuh pengajaran, sepanjang perjalanan menuju matlamat dan cita-cita.

Wahai yang sering mencuba dan sering gagal, adakah kegagalan akan mematikan usaha anda?

Allah memandang pada pekerjaan dan kesungguhan kita, orientasinya adalah amal dan kesungguhan . Kita merancang untuk hasil yang terbaik, namun Allah yang menentukan kesudahannya.

My Friends Don't Give Up

My Friends Don't Give Up

Don’t give up, Don’t give up, Don’t give up.

Wasalam,

————————————————

amarjamaludin.wordpress.com

25 August 2011, Damanhur, Egypt