RAHSIA BISNES CINA -Sejarah Bisnes Orang Cina Malaysia


Perniagaan Cina Malaysia

Perniagaan Cina Malaysia

Assalamualaikum WBT. Mungkin sedikit cetusan pemikiran berkaitan bangsa Cina dalam selok-belok perniagaan. Walaupun saya tidak mengenali Cina tetapi mungkin saya kaitkan sedikit dari buku karangan Ann Wan Seng berkaitan sejarah bangsa Cina dalam prospek perniagaan. Ann Wan Seng :

Semasa negara kita mencapai kemerdekaan, pengenalan atau identiti kaum dibuat berdasarkan bidang pekerjaan yang diceburi. Orang Melayu dikaitkan dengan sektor pertanian dan bekerja sebagai petani. Orang Cina pula berniaga dan mendiami kawasan bandar. Orang India tinggal di estet dan bekerja dalam sektor perladangan. Selepas hampir lima dekad negara merdeka, pengenalan kaum berdasarkan sektor pekerjaan mula hilang. Semakin ramai orang Melayu dan India menceburi bidanag perniagaan. Manakala di kalangan orang Cina, perniagaan terus menjadi teras kepada pekerjaan utama mereka.

Dasar ekonomi Baru DEB yang diperkenalkan pada awal tahun 1970-an berjaya melahirkan sejumlah usahawan, ahli perniagaan dan tokoh korporat di kalangan penduduk bumiputera sama ada yang beragama Islam ataupun tidak. Sekaligus membuktikan betapa perniagaan adalah bidang yang boleh dipelajari dan tidak semestinya dimonopoli oleh mana-mana kaum. Namun begitu, usaha bagi memecahkan penguasaan orang Cina dalam bidang ekonomi masih tidak dapat dilakukan sehinggatidak dapat dipisahkan apabila kita bercakap berkenaan kaum itu.

Orang Cina menguasai seluruh ruang lingkup perniagaan daripada perniagaan berskala kecil sehingga kepada penguasaan syarikat yang bertaraf konglomerat. Sejarah yang dilalui oleh orang Cina untuk menjadi peniaga yang berjaya penuh dengan seribu satu liku. Mereka datang ke Asia Tenggar dibawa oleh penjajah British dan Belanda supaya bekerja di lombong dan ladang-ladang. Kedatangan orang Cina membawa banyak perubahan kepada struktur, sistem dan senario ekonomi di rantau ini. Pada awalnya, mereka datang sekadar hendak mencari makan dan selepas itu akan pulang ke negara asal dan kampung halamannya. Orang Cina datang tanpa membawa keluarga. Tujuan mereka adalah mencari dan mengumpul duit. Dengan wang yang diperolehi itu, mereka berharap dapat menampung kehidupan keluarga.

Mereka berhijrah kerana terpengaruh dengan cerita yang mengatakan betapa mudahnya mencari duit di Asia Tenggara. Rantau ini ibarat lombong emas yang dapat menjadikan seseorang itu kaya-raya. Apa yang diperlukan adalah tenaga empat kerat, kerja kuat dan rajin berusaha. Apabila mereka sampai ke sini segala gambaran yang diperoleh adalah indah khabar dari rupa. Kehidupan di rantau orang tidak mudah dan sesetengahnya terpaksa bekerja sebagai kuli sepanjang hayatnya. Pendapatan yang mereka perolehi amat sedikit tidak sejajar dengan bebanan kerja yang mereka lakukan.

Namun keadaan ini lebih baik daripada mati kelaparan di negara asalnya. Di sini mereka boleh makan kenyang. Asalkan rajin, mereka tidak akan kebuluran. Kesusahan yang dialami itu akhirnya membantu orang Cina berjaya dalam perniagaan. Mereka sudah biasa berhadapan dengan situasi yang sukar dan sebarang bentuk masalah yang dihadapinya dalam perniagaan tidak sedikit pun menggugat dan mengganggunya.

Sejarah perniagaan orang Cina bermula dalam bidang peruncitan. Daripada bidang perniagaan inilah orang Cina memperoleh pengalaman dan kemahiran bagi menghadapi pelbagai karenah manusia. Mereka belajar mengendalikan pelanggan dan perhubungan awam secara praktikal. Begitu juga dengan kemahiran komunikasi, berunding dan mengurus yang semuanya diperolehi secara tidak formal. Sebab itulah, perniagaan orang Cina tidak melibatkan banyak formaliti dan karenah birokrasi. Mereka berusaha menjadikan urus niaga itu semudah yang mungkin. Orang Cina tidak suka meremehkan sesuatu pekerjaan. Jika dapat, ia perlu diselesaikan dengan cepat tanpa banyak soal bicara.

Orang Cina sentiasa mencari peluang. Apabila mereka mendapati peluang memperkembangkan perniagaannya semakin terbatas, maka mereka akan mencari peluang di negara lain. Mereka akan menerokai pasaran baru asalkan mereka mudah mencari makan. Sikap suka berhijrah orang Cina tidak seharusnya dijadikan hujah mengatakan orang Cina tidak setia kepada negara. Mereka berhijrah kerana faktor ekonomi seperti mana peringkat awal kedatangan mereka ke Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya. Tindakan orang Cina meninggalkan Malaysia pada pertengahan tahun 1980-an semasa berlakunya kemelesetan ekonomi yang serius menyebabkan kesetiaan orang Cina dipertikaikan.

financial-success-fengshui-1

financial-success-fengshui-1

Tindakan itu dianggap sebagai tidak patriotik. Bagi orang Cina mereka berbuat demikian bukan kerana tidak cintakan negara yang mereka menjadi tanah tumpah darahnya, tetapi kerana mereka perlu meneruskan hidup dan terus melangkah ke hadapan. Mereka berpindah ke Australia, Kanada, Amerika Syarikat, dan Eropah dengan meninggalkan keluarga masing-masing. Apa yang mereka lakukan mengulangi proses kedatangan nenek moyang mereka ke Tanah Melayu. Evolusi sejarah ini akan terus berlaku bagi memenuhi tuntutan putaran ekonomi dunia yang sentiasa berubah dan menyesuaikan diri dengan apa sahaja keadaan. Mereka akan dapat hidup dan mencari makan walau di mana sahaja mereka berada. Inilah salah satu kepandaian dan kemahiran orang Cina.

Orang Cina sentiasa berpandangan jauh dan mereka tidak akan membiarkan keadaan menjadi statik. Dalam sejarah niaga orang Cina, kita dapati, perniagaan orang Cina sentiasa berkembang. Mereka cepat dan cekap mendakap peluang niaga yang baru. Jika dahulu bapanya berniaga air di tepi jalan, maka anaknya akan membuka restoran dan barangkali cucunya akan membuka kilang menghasilkan air dalam tin. Untuk berkembang, orang itu kena berhijrah bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental, jiwa dan pendekatan. Kesediaan seseorang itu untuk berubah adalah kunci utama kejayaannya.

success-happiness-feng shui

success-happiness-feng shui

Sejarah niaga orang Cina menunjukkan banyak perubahan besar dan mendesak. Bandingkan sejarah awal kedatangan orang Cina ke Malaysia dengan kedudukan orang Cina dewasa ini. Kita akan dapati antara generasi pertama yang mula-mula datang dengan generasi yang seterusnya memperlihatkan perbezaan yang cukup besar. Di sebalik perbezaan itu, mereka mempunyai satu persamaan iaitu semangat bagi meningkatkan taraf hidup dan keyakinan pada perniagaan sebagai mekanisme bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi peribadi, keluarga, komuniti dan bangsanya……………….BERSAMBUNG DALAM BHGN BERIKUTNYA.

Saya tidak bermaksud untuk mengagungkan bangsa Cina tetapi sekadar cuba untuk meniru sikap mereka yang bersungguh-sungguh dalam bekerja dan untuk terus hidup walupun mereka pada awalnya bermula dari ZERO MODAL. Saya juga tidak mempercayai FENG SHUI tetapi saya yakin pada QADA DAN QADAR ALLAH swt. Sesiap yang rajin berusaha dan amanah serta yakin pada Allah SWT maka ada ganjaran yang cukup menguntungkan kelak bagi sesiapa yang berniaga bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermafhum 9 per 10 peluang rezeki berpunca dari perniagaan.. Insyaallah ada kenikmatan yang halal dan menguntungkan kelak disamping redha Allah yang kita cari. Wasalam.

——————————————————————————————-

18 Jun 2011/ Damanhur, Mesir

amarjamaludin.wordpress.com