Kalam YDP KPIPM Sesi 2008-2009 berkaitan Pemilihan Pemimpin


Setelah kita menyaksikan pertandingan pilihanraya yang akan berlansung, maka sedikit coretan yang ingin dikongsi bersama. Iaitu tentang pemilihan bakal pimpinan. Sedikit peringatan saya untuk semua, bahawa pemilihan pimpinan bagi KPIPM bukanlah satu permainan seronok-seronok.

Kita melihat bahawa di sana terdapat beberapa situasi yang boleh kita fikirkan bersama, di dalam pemilihan pimpinan. Adakah anda memilih seseorang pimpinan itu sedangkan anda belum mengenal siapakah orang tersebut? Wahai pejuang agama Allah, anda perlu ingat, bahawa tangan andalah yang akan merubah KPIPM.

Sekiranya pimpinan yang bakal naik adalah di kalangan mereka yang tidak selayaknya, maka anda sengaja menyediakan dosa bagi diri anda sendiri. Sekiranya anda melihat kelayakan seseorang itu sebagai pimpinan, maka teruskanlah dengan hasrat murni untuk memilihnya sebagai pimpinan anda.

Sekadar berkongsi dengan semua, sedikit pengalaman yang suka untuk saya coretkan di sini ialah pemilihan pimpinan sebelumi ini. AJKT pada sesi 2008/2009 telah dipilih oleh kebanyakan suara ahli. Tetapi, kenapakah masih lagi terdapat golongan yang tidak taat kepada pimpinan?

AJKT dipilih oleh ahli, tetapi kenapakah sesudah memilihnya, masih terdapat golonga yang mempertikaikan kepimpinannya? Adakah mereka ini melanggar al Quran dan Sunnah? Wahai pejuang agama Allah, sekiranya saya dan mana-mana pimpinan KPIPM melanggar al Quran dan Sunnah, sila jatuhkan kami!

Tetapi, apa yang terjadi hari ini, AJKT sedaya upaya mendidik ahli, memberi kebajikan sepenuhnya dan sebagainya. Namun, golongan ini pula yang diusahakan supaya dijatuhkan. Inikah kita?

Terdapat banyak kumpulan di seluruh dunia yang tertubuh atas dasar hasad. Lihatlah beberapa golongan, apabila mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu kumpulan, maka, mereka menubuhkan kumpulan yang lain. Sekiranya di dalam kumpulan yang baru itu juga tidak memuaskan hati, maka mereka menubuhkan satu lagi kumpulan. Bilakah kita akan bersatu?

Adakah ahli KPIPM disekat daripada menyuarakan pandangan? Adakah ahli KPIPM akan dipenjarakan sekiranya mempertikaikan pimpinan? Adakah dalam KPIPM juga tertubuhnya akta yang mengharamkan “muhasabah”? Tidak sekali-kali.

Untuk pilihanraya kali ini, saya amat berharap agar semua ahli KPIPM dapat turun mengundi dan memastika undian anda adalah bertepatan. Pilihlah 8 yang terbaik di kalangan mereka yang dicalonkan. Dan ingatlah, memilih pimpinan ini bukanlah berdasarkan hawa nafsu semata-mata, tetapi pilihlah berdasarkan kefahaman.

Terserahlah kepada ahli untuk memilih siapakah AJKT anda. Setelah 8 orang diiktiraf sebagai pemenang, maka anda wajib memberi ketaatan kepada mereka selagi mana mereka tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009